Thursday 7 May 2015

Perubahan iklim dunia memberi tamparan hebat kepada sektor pertanian negara.
Situasi ini sekali gus memberi kesan kepada keselamatan makanan negara.
Persoalannya bersediakah kita untuk mendepani fenomena pelik membabitkan perubahan ekstrem cuaca dunia?
Pernah berdepan fenomena El Nino yang dahsyat pada tahun 1997 dan 1998 tidak bermakna ia berakhir.
Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998 mencatatkan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius.
Sebahagian besar kawasan di negara ini turut mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu.
Krisis bekalan air di Lembah Klang menjadi isu paling ketara dihadapi negara ketika itu.
Ketika itu langkah catuan air hampir di seluruh negara antara usaha dilakukan.
Malah, ia mengakibatkan tanah kering kontang dan kemusnahan terhadap penanaman padi dan komoditi lain.
Selepas lebih 10 tahun berlalu, fenomena sama berulang kembali pada 2008.
Namun kesannya tidak seburuk fenomena El Nino berlaku pada tahun 1997 dan 1998.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tidak terkecuali dalam membantu menangani perubahan iklim melanda negara.
Timbalan Pengarah Pengurusan Persekitaran Agro-Industri, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, secara umum perubahan cuaca mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sektor pertanian.
“Sebagai contoh peningkatan suhu dan perubahan terhadap intensiti serta kekerapan berlakunya hujan.
“Kedua-dua perubahan ini secara langsung mempengaruhi pertumbuhan sesuatu tanaman serta menjadikan kawasan tanaman sedia ada menjadi tidak sesuai untuk tanaman tertentu,” katanya.
Menurutnya, pembabitan secara langsung agensi itu dengan perubahan iklim di peringkat nasional bermula pada tahun 1996
“Peranan kami ketika itu menerusi penulisan laporan untuk peringkat nasional dan jawatankuasa peringkat nasional,
“Meskipun peranannya lebih kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), tetapi MARDI terbabit dalam rundingan peringkat antarabangsa,” katanya,
Dibandingkan 20 tahun lalu, perbezaan hujan dan suhu ketika ini sangat berbeza.
“Ia dipanggil ‘kebolehubahan cuaca’ iaitu keadaan cuaca yang sekejap panas dan sekejap hujan seperti dilihat ketika ini.
“Ramalan juga menjangkakan bulan Mac hingga Mei adalah musim panas dan ia sebenarnya fenomena biasa,” katanya suhu berkenaan lumrah terjadi setiap tahun.
Bagaimanapun katanya kebimbangan membabitkan perubahan cuaca yang datang mengejut.
“Suhu yang panas sudah pasti memberi kesan kepada tanaman dan ternakan.
“Bagi sektor pertanian kesannya dapat dilihat dalam tempoh panjang hingga menjangkau setahun,” katanya.
Mengambil contoh kepada tanaman mangga katanya, cuaca panas berterusan menggalakkan pertumbuhan bunga.
“Mungkin itu kebaikannya apabila pokok buah mangga berbunga akibat tekanan.
“Bagaimanapun jika panas berlarutan dalam tempoh panjang, bunga akan gugur ke tanah,” katanya.
Dalam situasi itu katanya, penting bagi petani menyediakan keperluan air mencukupi.
Bagi MARDI katanya, langkah mempertingkatkan bekalan air ke ladang harus diberi perhatian.
“Antaranya membekalkan tangki air untuk keperluan simpanan air di ladang, pembinaan telaga tiub dan pam air.
“Cadangan secara kolektif oleh pelbagai agensi dapat mengurangkan kesan kepada sektor pertanian,” katanya.
MARDI sendiri katanya melihat keseluruhan perubahan cuaca bagi jangka pendek dan panjang.
“Tindakan diambil antara lainnya membangunkan varieti padi baru dan sistem penanaman padi Aerob.
“Perancangan akan datang, kita juga nak membangunkan varieti baru yang tahan kepada kemarau, air masin dan banjir,” katanya teknologi berkenaan dapat mengurangkan kesan perubahan cuaca.
Menurutnya, terdapat dua peranan perubahan cuaca kepada sektor pertanian.
“Pertamanya kita akan menyumbang kepada berlaku perubahan cuaca dan terkesan disebabkan perubahan cuaca,” katanya.
Secara tidak langsung katanya, manusia menjadi penyumbang kepada pemanasan global.
“Sebagai contoh penggunaan baja dalam sistem pertanian yang tidak digunakan secara betul akan memberi kesan kepada pembebasan gas nitrogen ke udara.
“Jerami padi yang mereput di dalam tanah pula akan membebaskan gas metana,” katanya ia meyumbang kepada perubahan cuaca.
Katanya, kajian atau teknologi dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.
“Kita nak uruskan bagaimana air dapat mengurangkan pembebasan gas di kawasan sawah padi.
“Kita juga nak kaji bagaimanan cara untuk menguruskan air dan penggunaan baja, selain memasukkan bahan organik yang digaul bersama dalam tanah sawah untuk mengurangkan pembebasan gas,” katanya.
Bagi menangani kesan perubahan cuaca ke atas sektor pertanian katanya, semua pihak perlu berganding bahu melihat opsyen jangka pendek dan panjang.
“Opsyen jangka pendek adalah opsyen spontan iaitu petani perlu mengambil langkah yang drastik terutama mengubah masa menanam sebagai respon perubahan berlakunya hujan.
“Bagi jangka panjang pula lebih perubahan daripada aspek polisi termasuk menggalakkan program penyelidikan,” katanya.
Katanya penekanan harus juga diberi perhatian kepada penyelidikan berkaitan pemuliharaan kepelbagaian biologi.
“Ini amat penting kerana melalui usaha-usaha ini dapat dikenalpasti dan diperkembangkan sebagai sumber tanaman yang rintang atau toleran kepada perubahan cuaca.
“Pihak kerajaan melalui agensi juga perlu menyediakan kemudahan sistem pengairan yang efisien dan memperkenalkan sistem kawalan banjir yang baik,” katanya. Sumber
KAJIAN di lapangan bagi ujian perubahan cuaca terhadap tanaman.

Tarik minat teknik fertigasi


Melihat sektor pertanian sebagai bidang keusahawanan yang menguntungkan antara pendekatan diambil Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada penghuni Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK), Puchong.
Program dengan kerjasama KebunBandar.com dilaksanakan secara teori dan ‘hands-on’ untuk menarik minat penghuninya berkenaan kaedah pertanian secara fertigasi.
Penganjurannya nampak ringkas, namun impak program dapat dilihat dalam jangka panjang lebih-lebih lagi selepas penghuni meninggalkan rumah kebajikan itu kelak.
Sekurang-kurangnya ada ruang untuk mereka hidup berdikari sejurus melangkah keluar.
Program sehari bermula dari 8 pagi hingga 6 petang itu disertai kira-kira 50 penghuni asrama termasuk tenaga pengajar.
Pemantau projek keusahawanan, Mohamad Izham Mohd Alias, 26, berkata idea penganjuran projek berkenaan dicetuskan Pngarah CaRE UPM, Prof Latifah Abd Latif.
Asalnya ia adalah projek Knowledge Transfer Grant Scheme (KTGS).
“Pada awalnya pihak CaRE merancang untuk menjalankan Projek Asas Berkebun di Bandar dengan menjalankan pertanian secara konvensional.
“Namun hasil perbincangan dengan pengetua RALK, projek tanaman sistem fertigasi dipilih menggantikan teknik berkebun secara biasa,” katanya.
Sistem fertigasi ini memerlukan kos yang tinggi disamping alat-alat digunakan mudah hilang akibat dicuri.
“Oleh itu, kedua-dua pihak bersetuju supaya RALK membantu mendapatkan sumbangan ikhlas daripada pihak yang bermurah hati untuk membiayai projek pertanian ini.
“Melalui dana yang diperoleh, CaRE mengambil inisiatif menganjurkan projek komuniti antara UPM dan masyarakat membabitkan tiga fasa,” katanya.
Permulaannya, peserta didedahkan berkenaan teori berkaitan fertigasi, penyakit cili dan cara tanaman.
“Antara fokus diberikan adalah berkaitan amalan pertanian cili dan fertigasi.
“Projek berkenaan dipantau Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Ayer Hitam, Johor, Abdul Nasir Abd Tahir untuk tempoh enam bulan,” katanya.
Pengamatan dilakukan mendapati penghuni rumah itu sangat teruja mengikuti pengajaran secara ‘hands-on’.
“Apatah lagi mereka mempelajari satu teknik pertanian baru yang belum pernah dilaksanakan di rumah berkenaan.
“Malah tenaga pengajar melihat usaha itu sebagai pendekatan yang boleh membawa penghuni lebih jauh (terbabit dalam keusahawan),” katanya.
Sebagai permulaan katanya, penghuni yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu sehinggalah tingkatan lima dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Mereka kemudian dipertanggungjawabkan untuk menjaga setiap baris pokok cili.
“Ketika ini terdapat 200 pokok fertigasi yang lengkap dengan sistem pengairan.
“Setiap minggu laporan diserahkan kepada penyelia projek untuk melihat kejayaannya,” kata­nya.
Pemantauan membabitkan seminggu sekali sebelum dijarakkan kepada dua minggu sekali dan akhirnya sebulan sekali.
“Jika projek pertama ini berjaya, ia menjadi contoh kepada penduduk setempat.
“Malah bilangan pokok juga dipertingkatkan daripada 200 kepada 1,000 pokok,” katanya.

Harga cili yang tinggi di pasaran memberi keuntungan kepada penghuni sekali gus digunakan untuk menjana aktiviti harian. Sumber

Untung RM 28,000 semusim

“Tidak mustahil suatu masa nanti, wanita ini akan menjadi usahawan tani berjaya berikutan kegigihannya dalam sektor pertanian,” katanya. Sumber


Keyakinan sektor pertanian mampu memberi pendapatan lumayan mendorong siswazah ini mengusahakan projek tanaman sayuran menggunakan kaedah sistem fertigasi.
Menerusi bimbingan Jabatan Pertanian Kedah (JPK), Jurina Md Diah, 31, dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah, mengusahakan projek pertanian berdaya maju.
Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, kini layak digelar sebagai siswazah tani berjaya.
Pernah memegang jawatan sebagai Pembantu Khas kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya selama enam tahun, keputusan drastiknya terbabit dalam sektor pertanian nyata tidak menghampakan.
Berstatus ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk berusaha.
Dia memulakan projek tanaman lada merah secara fertigasi dengan modal pusingan RM15,000 di atas tanah milik keluarga pada 2012.
“Ternyata apa yang saya rancang menjadi kenyataan, malah harga lada merah di pasaran tempatan ketika itu mencecah RM14 sekilogram.
“Ia membuatkan saya mampu memperoleh pulangan RM28,000 untuk semusim,” katanya.
Jika dulu ramai yang sangsi akan keupayaannya, kini Jurina menarik nafas lega.
“Meskipun ramai memandang sinis akan tindakan saya berhenti kerja ketika itu, kini segalanya berubah.
“Mereka mula sedar betapa untungnya berbudi kepada tanah jika mahu mendapat hasilnya,” katanya.
Dia sedar projek pertanian menggunakan kaedah tanaman moden dan berteknologi banyak membantu petani.
Jurina berkata, hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan korporat dan usahawan tani Bumiputera akan tercapai jika ramai yang mempunyai mentaliti berdikari.
“Jika semua lepasan universiti mengharapkan kerja makan gaji, mereka tidak mampu menandingi kos sara hidup semakin tinggi, terutama yang bekerja di bandar besar,” katanya.
Kegigihannya mendapat perhatian JPK apabila memilih Jurina untuk menerima bantuan peralatan seperti rumah hujan, setor dan alat pengepam air membabitkan peruntukan kira-kira RM20,000.
Bantuan itu diterima menerusi program pertanian jangka panjang Projek Fertigasi Rakyat (PFR).
Menerusi bimbingan dan khidmat nasihat JPK, Jurina beralih kepada tanaman timun menggunakan kaedah tanaman fertigasi.
Ia di tanam di kawasan khemah berbumbung atau rumah pelindung hujan sebanyak enam unit.
Kebaikannya ialah bagi meningkatkan kesuburan tanaman, sekali gus mampu mengeluarkan hasil berkualiti.
Tidak puas dengan kejayaan tanaman timun dan cili, Jurina memperluaskan projek dengan mengusahakan tanaman sayuran seperti sawi, bayam dan kangkung di kawasan seluas kira-kira satu hektar.
Tapak berkenaan disewa pajak dengan tuan tanah kira-kira 500 meter dari tapak projek pertama.
Ditanya berkenaan pendapatan hasil daripada jualan tanaman sayuran katanya, dia mampu memperoleh pendapatan purata mencecah RM5,000 sebulan.
Dia juga mampu memiliki kenderaan sendiri hasil daripada titik peluhnya sendiri.
“Benar apa yang diuar-uarkan kerajaan Pertanian itu adalah perniagaan’.
“Buktinya, saya kini sudah menikmati ganjarannya,” katanya.
Sementara itu, pembantunya Mohd Suhaimi Yahya, 25, berkata Jurina harus dijadikan contoh kepada belia Melayu.
“Mereka perlu bersikap positif terhadap bidang pertanian dengan menggabungkan ilmu, kepakaran dan teknologi moden berkaitan bidang pertanian.
“Jurina tidak menggunakan khidmat orang tengah, sebaliknya dia sendiri mencari pasaran,” katanya.
Dia juga kagum dengan kegigihan sikap ibu tunggal ini yang mempunyai wawasan dan jati diri tinggi demi masa depannya. Sumber

Daripada jurutera kini penanam cili



Dulunya, anak jati dari Rantau, Negeri Sembilan ini, K Kuichalan, 45, jurutera di sebuah kilang elektronik.
Dia juga tidak pernah mengetahui selok-belok berkaitan aktiviti pertanian.
Segalanya berubah selepas Kuichalan mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS) di kilangnya pada 2012.
Dia memilih bidang pertanian kerana mampu memberikan pulangan lumayan berbanding makan gaji.
Anak jati dari Ulu Kanchong, Rantau ini berkata, dia tidak menyangka projek perintis fertigasi tanaman cili diwujudkan Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) memberi pulangan lebih RM10,000 sebulan.
“Sejak mengambil VSS pada 2012, saya hanya duduk di rumah selepas permohonan kerja tidak dilayan kerana faktor usia.
“Justeru, saya bekerja sambilan di sekitar Seremban selain terbabit dalam jualan atas talian,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, NAAM mengumumkan pencarian lapan peserta projek tanaman cili dan dia memohon dan tidak sangka terpilih antara peserta projek.
“Saya hanya mengusahakan projek ini di tanah berkeluasan 0.4 hektar di Kampung Ribu, Rantau, Seremban.
“Selepas tiga bulan melakukan semaian dan penanaman, 3,000 kilogram (kg) cili berbuah,” katanya.
Katanya, projek yang dijalankan itu dilakukan di tanah yang disewa dengan harga RM200 sebulan.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, semua 3,000kg cili itu diambil secara borong oleh FAMA Negeri Sembilan.
“Satu kg cili dijual dengan harga RM5 dan saya meraih pendapatan RM15,000.
“Pendapatan ini jauh lebih tinggi berbanding gaji jurutera sedangkan proses menyemai hanya sebulan dan dua bulan lagi tempoh menunggu,” katanya.
Menurutnya, pendapatan itu dua kali ganda berbanding pendapatannya sepanjang 15 tahun bergelar jurutera.

Dia juga gembira apabila proses memungut hasil cili dibuatnya awal Januari lalu dihadiri Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Datuk M Saravanan. Sumber