Situasi ini sekali gus memberi kesan kepada keselamatan makanan negara.
Persoalannya bersediakah kita untuk mendepani fenomena pelik membabitkan
perubahan ekstrem cuaca dunia?
Pernah berdepan fenomena El Nino yang dahsyat pada tahun 1997 dan 1998
tidak bermakna ia berakhir.
Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998 mencatatkan suhu tertinggi
iaitu 40.1 darjah Celsius.
Sebahagian besar kawasan di negara ini turut mengalami cuaca kering dan
panas serta berjerebu.
Krisis bekalan air di Lembah Klang menjadi isu paling ketara dihadapi
negara ketika itu.
Ketika itu langkah catuan air hampir di seluruh negara antara usaha
dilakukan.
Malah, ia mengakibatkan tanah kering kontang dan kemusnahan terhadap
penanaman padi dan komoditi lain.
Selepas lebih 10 tahun berlalu, fenomena sama berulang kembali pada 2008.
Namun kesannya tidak seburuk fenomena El Nino berlaku pada tahun 1997 dan
1998.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tidak
terkecuali dalam membantu menangani perubahan iklim melanda negara.
Timbalan Pengarah Pengurusan Persekitaran Agro-Industri, Pusat Penyelidikan
Sumber Strategik MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, secara
umum perubahan cuaca mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sektor
pertanian.
“Sebagai contoh peningkatan suhu dan perubahan terhadap intensiti serta
kekerapan berlakunya hujan.
“Kedua-dua perubahan ini secara langsung mempengaruhi pertumbuhan sesuatu
tanaman serta menjadikan kawasan tanaman sedia ada menjadi tidak sesuai untuk
tanaman tertentu,” katanya.
Menurutnya, pembabitan secara langsung agensi itu dengan perubahan iklim di
peringkat nasional bermula pada tahun 1996
“Peranan kami ketika itu menerusi penulisan laporan untuk peringkat
nasional dan jawatankuasa peringkat nasional,
“Meskipun peranannya lebih kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
(NRE), tetapi MARDI terbabit dalam rundingan peringkat antarabangsa,” katanya,
Dibandingkan 20 tahun lalu, perbezaan hujan dan suhu ketika ini sangat
berbeza.
“Ia dipanggil ‘kebolehubahan cuaca’ iaitu keadaan cuaca yang sekejap panas
dan sekejap hujan seperti dilihat ketika ini.
“Ramalan juga menjangkakan bulan Mac hingga Mei adalah musim panas dan ia
sebenarnya fenomena biasa,” katanya suhu berkenaan lumrah terjadi setiap tahun.
Bagaimanapun katanya kebimbangan membabitkan perubahan cuaca yang datang
mengejut.
“Suhu yang panas sudah pasti memberi kesan kepada tanaman dan ternakan.
“Bagi sektor pertanian kesannya dapat dilihat dalam tempoh panjang hingga
menjangkau setahun,” katanya.
Mengambil contoh kepada tanaman mangga katanya, cuaca panas berterusan
menggalakkan pertumbuhan bunga.
“Mungkin itu kebaikannya apabila pokok buah mangga berbunga akibat tekanan.
“Bagaimanapun jika panas berlarutan dalam tempoh panjang, bunga akan gugur
ke tanah,” katanya.
Dalam situasi itu katanya, penting bagi petani menyediakan keperluan air
mencukupi.
Bagi MARDI katanya, langkah mempertingkatkan bekalan air ke ladang harus
diberi perhatian.
“Antaranya membekalkan tangki air untuk keperluan simpanan air di ladang,
pembinaan telaga tiub dan pam air.
“Cadangan secara kolektif oleh pelbagai agensi dapat mengurangkan kesan
kepada sektor pertanian,” katanya.
MARDI sendiri katanya melihat keseluruhan perubahan cuaca bagi jangka
pendek dan panjang.
“Tindakan diambil antara lainnya membangunkan varieti padi baru dan sistem
penanaman padi Aerob.
“Perancangan akan datang, kita juga nak membangunkan varieti baru yang
tahan kepada kemarau, air masin dan banjir,” katanya teknologi berkenaan dapat
mengurangkan kesan perubahan cuaca.
Menurutnya, terdapat dua peranan perubahan cuaca kepada sektor pertanian.
“Pertamanya kita akan menyumbang kepada berlaku perubahan cuaca dan
terkesan disebabkan perubahan cuaca,” katanya.
Secara tidak langsung katanya, manusia menjadi penyumbang kepada pemanasan
global.
“Sebagai contoh penggunaan baja dalam sistem pertanian yang tidak digunakan
secara betul akan memberi kesan kepada pembebasan gas nitrogen ke udara.
“Jerami padi yang mereput di dalam tanah pula akan membebaskan gas metana,”
katanya ia meyumbang kepada perubahan cuaca.
Katanya, kajian atau teknologi dapat mengurangkan pembebasan gas rumah
hijau.
“Kita nak uruskan bagaimana air dapat mengurangkan pembebasan gas di
kawasan sawah padi.
“Kita juga nak kaji bagaimanan cara untuk menguruskan air dan penggunaan
baja, selain memasukkan bahan organik yang digaul bersama dalam tanah sawah
untuk mengurangkan pembebasan gas,” katanya.
Bagi menangani kesan perubahan cuaca ke atas sektor pertanian katanya,
semua pihak perlu berganding bahu melihat opsyen jangka pendek dan panjang.
“Opsyen jangka pendek adalah opsyen spontan iaitu petani perlu mengambil
langkah yang drastik terutama mengubah masa menanam sebagai respon perubahan
berlakunya hujan.
“Bagi jangka panjang pula lebih perubahan daripada aspek polisi termasuk
menggalakkan program penyelidikan,” katanya.
Katanya penekanan harus juga diberi perhatian kepada penyelidikan berkaitan
pemuliharaan kepelbagaian biologi.
“Ini amat penting kerana melalui usaha-usaha ini dapat dikenalpasti dan
diperkembangkan sebagai sumber tanaman yang rintang atau toleran kepada
perubahan cuaca.
“Pihak kerajaan melalui agensi juga perlu menyediakan kemudahan sistem
pengairan yang efisien dan memperkenalkan sistem kawalan banjir yang baik,”
katanya. Sumber